Membudayakan Masyarakat Bermaklumat

Tuesday, November 13, 2007

PENTARAMA



Menyalur Maklumat Melalui Persembahan Terpimpin

'Pentarama’ merupakan singkatan nama Pentas Drama Bergerak. 'Infotaiment’ ini adalah salah satu mekanisme penyalur maklumat kepada orang ramai, melalui gerak laku, drama theatre dengan memberikan penekanan terhadap hal ehwal semasa dalam negeri yang menjadi isu popular di kalangan masyarakat. Kandungan persembahan pentas memuatkan segmen drama, lawak jenaka, tarian, nyanyian, kuiz penonton dan prolog membuatkan ia unik lain dari yang lain serta sesuai untuk tontonan semua peringkat lapisan masyarakat.

Sebagai salah satu media interpersonal Jabatan Penerangan, Jabatan Perdana Menteri, dan usia Pentarama yang sudah menjangkau hampir dua dekad, matlamat utamanya ialah menyampaikan maklumat / mesej Kerajaan disamping mendidik dan menyedarkan minda masyarakat berorientasikan kepada maklumat, pendidikan dan hiburan dalam usaha membangun nilai-nilai positif masyarakat agar dapat meningkatkan komitmen, persefahaman serta peka dalam kehidupan berbangsa, beragama dan bernegara.

Projek Pentarama mula diperkenalkan sejak 19 tahun yang lalu iaitu pada tahun 1988. Pada waktu itu persembahannya hanya terhad tidak seperti yang ada pada masa ini. Segala inisiatif pengendalian persembahan dilakukan secara kolektif kerjasama Jabatan Penerangan dengan persatuan-persatuan dan individu-individu pengiat seni. Di antara persatuan yang aktif berganding bahu menjayakan Pentarama pada ketika itu ialah persatuan RUSILA, kumpulan KASTEA Darussalam dan kumpulan pelawak Darah Kedayan. Pada tahun 1998 Pentarama telah mengorak langkah dan memberi ruang kerjasama dalam bentuk pakej persembahan dibukakan kepada syarikat-syarikat 'production house’ tempatan. Perkara ini bertujuan agar mutu corak persembahan dapat ditingkatkan dan memudahkan urusan penyelenggaraan dengan lebih efesien. Manakala pada tahun 2003, Pentarama telah mula mempakejkan kelengkapan teknikal 'sound system’ dan set 'lighting’ dikendalikan oleh syarikat swasta. Kerjasama seumpama ini telah banyak menampakkan perubahan dari segi kualiti persembahan yang lebih segar disamping dapat meningkatkan mood semua artis dan penonton. Selain itu, penglibatan pihak swasta khususnya penaja dan production house yang terpilih juga telah dapat memperlihatkan kerjasama yang baik di antara agensi kerajaaan dan swasta dalam menanai hasrat kerajaan.

Sesuai dengan perkembangan zaman, proses perubahan yang dilakukan seiring dengan keperluan dan pembangunan negara. Pelbagai genre pendekatan telah diketengahkan bagi mencipta pembaharuan wajah Pentarama. Persembahan diiringi dengan kumpulan kugiran terdiri daripada pemuzik-pemuzik tempatan selaku peneraju utama dalam setiap persembahan. Penyanyi jemputan sebahagiannya terdiri dikalangan penyanyi-penyanyi tempatan yang sudah merakamkan album disamping keramahan juruacara undangan yang mampu menghidupkan acara dan menyampaikan prolog dengan berkesan serta pandai berinteraksi dengan penonton.

Bagi mewalihkan lagi acara Pentarama, pada bulan Mei yang lalu telah berlangsung majlis pelancaran lagu dan logo Pentarama. Dengan memiliki ikon lagu dan logonya tersendiri, Pentarama telahpun maju setapak kehadapan disamping mempromosikan dan memberigakan lagi persembahan Pentarama yang diadakan setiap tahun sempena perayaan ulang tahun hari keputeraan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam di keempat-empat daerah. Dari dulu sehingga kini Pentarama sudah dikenali ramai khususnya dikalangan peminat-peminatnya.

Format Persembahan

Susunan acara dimulakan dengan kemeriahan nyanyian lagu Tema Pentarama dan lagu hari keputeraan oleh semua barisan artist Pentarama sebagai pembuka tirai persembahan diikuti beberapa pengisian segmen yang menarik dari awal sehingga ke akhir persembahan.

Sketsa Drama

Mempersembahkan sebuah drama pentas masyarakat. Para Pelakon terdiri dari anak-anak tempatan yang berbakat dalam bidang seni lakonan dan mampu menyampaikan mesej-mesej berguna. Tema drama berunsurkan pendidikan moral, memberi kesedaran agar hidup harmoni, bersatu padu, taat setia, patuh kepada undang-undang serta nilai-nilai positif dan murni dalam kehidupan. Namun watak lakonan dan plot drama hanyalah gimik dan tidak berniat untuk menyentuh mana-mana pihak atau individu-individu tertentu. Selain menampilkan bakat-bakat baru dan lama dalam bidang lakonan, persembahan drama juga diadaptasikan dengan kesan bunyi dan muzik latar pastinya memberikan daya tarikan berbeza.

Lawak Jenaka

Menyampaikan mesej dalam bentuk humor. Gelagat jenaka yang dibawakan oleh pelawak tempatan mampu menghibur dan menceriakan penonton disamping menyampaikan mesej dengan tema berunsurkan pendidikan moral serta nilai-nilai positif dan kehidupan masyarakat meliputi isu-isu sosial semasa. Di akhir lawak jenaka pelawak akan mengajak penonton untuk sama-sama menyertai acara kuiz.

Tarian

Tarian merupakan salah satu cabang seni yang sememangnya tidak terlepas dari cabaran arus semasa. Acara Pentarama menyajikan empat buah tarian. Gerak tari bertemakan kebudayaan dan perkembangan semasa. Persembahan tarian memaparkan khazanah seni asli Brunei dan kontemporari yang memperlihatkan masyarakat Brunei dahulu dan sekarang. Tarian dijayakan oleh penari-penari tempatan.

Nyanyian

Lagu dan irama yang bersesuaian adalah perkara yang dominan sehingga mampu memberi impak motivasi terhadap psikologi audiens. Sebanyak 12 ke 14 buah lagu termasuk sebuah lagu asli dan sebuah lagu hasil gubahan anak tempatan dipersembahkan oleh penyanyi-penyanyi tanah air yang berbakat besar dalam bidang nyanyian. Pelbagai rentak lagu seperti irama asli, 'evergreen’ yang berirama sederhana dan lagu-lagu moden yang diminati ramai didendangkan. Disamping itu beberapa buah nyanyian juga diiringi oleh tarian latar.

Prolog

Prolog memainkan peranan yang penting dalam keseluruhan persembahan Pentarama. Ia merupakan pembuka bicara atau kata pendahuluan yang berunsurkan nasihat, seruan atau promosi yang diselang-selikan setiap segmen. Tema prolog menjurus kepada mendidik masyarakat untuk lebih peka terhadap isu-isu semasa dan pembangunan kerajaan.

Kuiz Penonton

Disamping berhibur, minda penonton juga turut diuji menerusi segmen Kuiz. Pelawak bersama dengan juruacara berperanan dalam mengendalikan kuiz tersebut. Soalan-soalan kuiz yang diajukan adalah mengenai isu-isu dan perkembangan semasa yang berlaku di Negara Brunei Darussalam. Penonton yang bertuah akan menerima hadiah yang disumbangkan oleh penaja.

Bagi mencapai matlamat yang dihasratkan, Jabatan Penerangan selaku pihak penganjur masih mengekalkan konsep persembahan lebih bersifat pendidikan, hiburan dan maklumat dengan menekankan beberapa aspek dari segi etika dan garis pandu persembahan seperti pemilihan lagu yang bersesuaian, mesej prolog yang disampaikan dan penampilan para peserta.

Ke arah menyalurkan maklumat, mendidik dan menghibur, ketika ditemui ketua Bahagian Hubungan Kemasyarakatan, Awang Ismail bin Mohammad berkata bahawa hasrat Jabatan Penerangan adalah untuk mendekatkan masyarakat dengan maklumat isu hal ehwal semasa negara dan seterusnya mengambil iktibar mengenainya dalam kita sama-sama menjaga keharmonian, kesejahteraan, keselamatan dan keamanan negara kita Brunei Darussalam.

Pada tahun ini sempena sambutan perayaan Hari Keputeraan KDYMM yang ke-61 sekali lagi Pentarama bakal akan menemui penonton dan peminatnya di pentas-pentas perayaan di keempat-empat daerah. Menurut Pengurus Pentarama di Unit Kemasyarakatan, Awang Hj Rahime bin Hj Anuar berkata Persembahan Pentarama di keempat-empat daerah bermula di daerah Temburong pada 21 Julai 2007, Bandar Seri Begawan 24 Julai 2007, Daerah Belait 28 Julai 2007 sementara pada 31 Julai 2007 di Daerah Tutong. Tambahnya orang ramai dialu-alukan untuk datang menyaksikan bersama keluarga dan rakan-rakan bagi menyemarakkan lagi persembahan itu nanti.

Menyedari cabaran semasa dalam memenuhi selera masyarakat kini, peranan medium komunikasi dalam pembangunan bukan setakat memberikan hiburan tetapi juga menerapkan nilai-nilai kesedaran sivik melalui penggunaan media hiburan dengan menyalurkan perutusan yang berkisar mengenai hal ehwal semasa negara, isu-isu sosial dan lain-lain lagi. Manifestasi ini dianggap sebagai satu flatform yang boleh menimbulkan semangat kesedaran dikalangan orang ramai khususnya dalam menerapkan nilai-nilai mulia sosio-budaya yang tinggi lagi bermakna. Diharap Pentarama akan terus menjadi wadah penyebaran maklumat, hiburan terpimpin serta penyatuan variasi seni dalam sebuah persembahan pentas.

Source - Pelita Brunei (Rabu, 4 Julai 2007) Oleh: Ak Arsul PHAM

No comments: